Kamis, 05 Februari 2015

♔ Menyelusuri Sirah Kelahiran Nabi Muhammad SAW.




Di sebalik kesibukan  berbagai urusan harian yang tidak pernah habis marilah kita mencari sedikit masa untuk melihat sejenak sejarah kelahiran  manusia unggul yang diutuskan oleh Allah sebagai rahmatan lil ‘alamin. Sejarah seorang  Nabi dan penutup segala Rasul iaitu Nabi Muhammad saw.

Marilah kita mengenalinya dengan lebih dekat melalui sirah kelahiran baginda, sekaligus kita menghirup aroma keindahan sirah itu untuk menyegarkan perjuangan kita yang masih panjang ini.

Bermula sirah harum baginda dengan perkahwinan antara Abdullah bin Abdul Mutalib dengan seorang wanita terhormat dari kalangan Quraisy, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf. Namun  takdir telah mendahului segalanya, Abdullah bin Abdul Mutalib telah kembali ke Rahmatullah sebelum sempat menimbang cahaya mata yang sedang dikandung oleh isteri tercinta.

Akhirnya Aminah melahirkan Muhammad tanpa seorang yang bernama suami di sisi. Muhammad saw telah dilahirkan di rumah bapa saudara sebelah bapanya iaitu Abu Thalib, dilingkungan Bani Hasyim dekat Shafa di Mekah Al Mukarramah pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal bersamaan  tahun 571 M  yang dikenali dengan tahun gajah, di mana ketika itu Abrahah Al Habsyi telah menyerang Mekah dari arah Yaman untuk menghancurkan Kaabah. Sesungguhnya keputeraan baginda telah berlaku pada 1442 tahun yang lalu,  masih kita kenang sehingga ke hari ini.

Abdul Muthalib, datuk Baginda menerima berita kelahiran cucunya dengan penuh rasa gembira. Boleh jadi beliau melihat kedatangan cucunya itu sebagai ganti kepada anaknya yang dirampas maut ketika masih muda.  Datuk baginda telah membawanya ke Ka’abah dan memberi nama “Muhammad” kepada cucundanya. Nama tersebut cukup asing di kalangan masyarakat Mekah pada waktu itu.

Rasulullah saw telah dilahirkan dari satu kabilah paling terhormat antara kabilah-kabilah Arab lainnya.  Baginda pernah bersabda mengenai dirinya :
“Allah telah memilih kinanah sebagai keturunan Ismail, lalu dari Kinanah Dia memilih Quraisy, kemudian dari Quraisy dia memilih bani Hasyim , dan dari bani Hasyim Dia memilihku.“ (HR Muslim)

Bapa baginda saw, ialah Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin ghalib bin Quraisy bin Malik bin Nadhir bin kinanah bin Khzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Ma’ad bin ‘Adnan.  Nasabnya terus berlanjutan sampai kepada Nabi Ismail bin Ibrahim. Semput juga nafas kita nak menyebut nasab baginda saw.  Berapa ramai di kalangan kita yang boleh menyebutkannya dengan lancar?

Mari pula kita lihat salasilah keturunan ibunda Baginda saw, beliau adalah Aminah binti Wahhab bin Abdul Manaf bin zahrah bin Kilab bin Murrah.  Nasabnya bertemu dengan ayahnya pada Kilab bin Murrah (nenda kelima dari ayahnya dan keempat dari pihak ibunya). Seharusnya kita mengingati susur galur keturunan baginda ini, kerana kecintaan kita kepada baginda.  Kecintaan kita kepada baginda seharusnya melebihi dari diri kita sendiri.

Bidan yang membantu menyambut kelahiran Nabi saw adalah Syifa’, bonda kepada Abdur Rahman bin Auf.  Sementara Suwaibah,  jariah kepada bapa saudaranya Abu Lahab adalah merupakan ibu susuan baginda yang pertama.  Pengasuh baginda pula ialah Ummu Aiman, jariah kepada  ayah baginda , Abdullah bin Abdul Muthalib.

Tradisi bangsawan Arab pada ketika itu menghantar anak ke pedalaman demi mencari udara dan suasana yang lebih baik bagi anak-anak mereka.  Lantaran itu Rasulullah saw telah dihantar kepada Halimatus Sa’diyah untuk disusukan. Ketika berusia 4 tahun Nabi saw telah dikembalikan semula kepangkuan ibundanya.  Seterusnya pada usia 6 tahun Aminah,  ibunda baginda meninggal dunia, lalu baginda diasuh oleh Datuk baginda,  Abdul Muthalib. Dalam keadaan yatim piatu, baru sempat 2 tahun bermanja dengan datuknya, Abdul Muthalib juga dipanggil menemui Illahi.

Abdul Mutalib dikurniakan usia yang panjang, sehingga dikatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika berusia 120 tahun.  Beliau meninggal dunia ketika Muhammad saw hampir berusia lapan tahun.  Sebelum kematiannya,  beliau telah menyerahkan tanggungjawab memelihara cucundanya, Muhammad saw kepada bapa saudara baginda sebelah bapa, iaitu Abu Thalib.

Abu Thalib menunaikan tanggungjawab memelihara anak saudaranya, Muhammad saw dengan sebaik-baiknya. Baginda tinggal dan bergaul dengan anak-anak Abu Thalib. Baginda membesar di dalam rumah Abu Talib sehingga  Baginda meningkat dewasa , matang dan memahami keadaan sekeliling. Ketika berusia 13 tahun baginda pergi mengikut Abu Thalib pergi berniaga ke Syam.

Pengalaman demi pengalaman hidup di alam kanak-kanak yang baginda lalui sejak dari dalam kandungan ibunda lagi. Asal usul dan sirah kelahirannya amat jelas. Berbanding dengan ramai tokoh-tokoh agama lain, asal-usul  mereka biasanya tidak diketahui umum selengkap kita  mengenal  Nabi  Muhammad saw.

Kemuliaan keturunan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada lelaki yang gagal. Seperti besi, apabila dibiarkan berkarat, ia tidak berguna lagi. Tetapi jika besi itu berada ditangan pereka yang mahir, ia boleh menghasilkan pelbagai rekaan.

Kelahiran Nabi saw dalam keluarga yang mempunyai kedudukan yang hebat merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan yang Allah sediakan untuk risalah Baginda.
Ada riwayat yang menyebut  bahawa beberapa petanda perutusan Nabi saw telah berlaku ketika kelahiran Baginda. Di mana 14 balkoni istana Kisra telah runtuh. Api yang disembah oleh puak Majusi telah padam. Gereja-gereja di sekitar  tasik Sawah  telah runtuh setelah tasik itu kering.

Namun Syeikh  Muhammad Al Ghazali dalam kitabnya Fiqh Sirah mengatakan ungkapan tersebut adalah tidak benar. Allah yang mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi terakhir telah memelihara kehidupan baginda dari segala kehinaan dan keburukan yang menjadi budaya amalan Arab jahiliyyah. Dari sudut sifat baginda sebagai seorang manusia, Baginda berasa lapar, kenyang, sakit, letih, rehat, sedih dan gembira. Baginda seorang yang berjiwa kental mampu memikul beban-beban kehidupan, susah payah jihad dan perit getir hidup, dalam keadaan teguh dan berani.

Sirah Nabi Muhammad saw bukanlah semata-mata kisah yang dibaca pada hari keputeraan. Bukan juga sekadar disebut-sebut dalam pelbagai selawat yang direka-reka. Bukan juga sekadar pesona cinta yang dipendam dan luahkan melalui susunan bait-bait sajak pujian kepada Baginda . Demikian juga menggerakkan lidah sehari semalam dengan seribu selawat tidaklah memberi makna kepada mana-mana Muslim yang Rasululullah saw tidak hidup di dalam hatinya dan dia tidak mengikuti petunjuk Baginda saw dalam amalan dan pemikirannya.

Ingatlah, alangkah murahnya kasih sayang jika ia hanya sekadar kata-kata! Alangkah mahalnya kasih sayang itu jika ia berbentuk ikutan, kepatuhan dan janji setia.
Rasulullah saw  merupakan penghubung manusia dengan Allah. Apabila iman kepada Allah melekat di hati, sempurnalah tugas baginda sebagai Rasul. Tugas Rasul menghubungkan akal dan hati manusia dengan Penciptanya  dan menjelaskan jalan yang lurus kepada mereka.  Selepas itu, setiap manusia hendaklah memikul akibatnya dalam melakukan perbuatan baik dan buruk. Rasul bukan orang tengah yang akan memikul untukmu kebaikan yang telah kamu lakukan, Rasul bukan juga ‘kambing hitam’ yang akan menanggung untukmu balasan buruk yang berhak dikenakan ke atasmu.

Samada Rasulullah saw masih ada atau sudah wafat tidak akan mengurangkan hakikat perutusan baginda sedikit pun. Baginda juga tidak diutuskan untuk menghimpun manusia di sekeliling namanya, sama ada sedikit atau ramai. Tetapi baginda diutuskan sebagai pemberi peringatan dan berita gembira. Tugas Nabi Muhammad juga bukanlah untuk menarik kamu dengan tali syurga. Sesungguhnya tugas baginda saw ialah mencampakkan ke dalam sanubari kamu penglihatan, yang dengannya kamu boleh melihat kebenaran.

Semoga dengan menyelusuri sirah kelahiran Baginda saw akan memberi keinginan yang lebih teruja untuk kita mengenalinya dengan lebih mendalam. Seterusnya memahami tugas baginda sebagai Rasul. Menghayati ajarannya tentang agama Islam yang syumul. Akhir sekali menuruti jejak langkahnya dari sudut kepimpinan dan dakwah, mengajak manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Wallahu A’lam.  Salam Maulidur Rasul.
Oleh : Ustazah Norlida Kamaruddin.
Timbalan Ketua Wanita ISMA.


Ya Allah... semoga yang membaca artikel ini :
¤ Muliakanlah orangnya
¤ Yang belum menemukan jodoh semoga lekas dipertemukan
¤ Yang belum mendapatkan keturunan semoga cepat mendapatkannya
¤ Semoga tergerak hatinya untuk bersedekah
¤ Entengkanlah kakinya untuk melangkah ke masjid
¤ Bahagiakanlah keluarganya
¤ Luaskan rezekinya seluas lautan
¤ Mudahkan segala urusannya
¤ Kabulkan cita-citanya
¤ Jauhkan dari segala Musibah, Penyakit, Prasangka Keji
¤ Jauhkan dari segala Fitnah, Berkata Kasar dan Mungkar.
Aamiin ya Rabbal'alamin



 
;